Tak kenal maka tak kaya? Biar betul.

Saya yakin, untuk mengembangkan perniagaan kita di era digital ini, kita bukan sahaja harus memahami kepentingan mengumpulkan maklumat pelanggan malah harus arif dalam kaedah menggunakan maklumat tersebut untuk mengkayakan hubungan dengan pelanggan kita.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Tak kenal maka tak cinta”. Ungkapan ini, boleh diertikan sebagai, jika kita tidak kenal dengan seseorang (dan betul-betul memahaminya) agak sukar untuk kita jatuh hati atau sayang kepadanya.

Di dalam konteks dunia perniagaan masa kini, izinkan saya mengadaptasi pepatah diatas sebagai, “Tak kenal maka tak kaya”. Jika kita sebagai seorang usahawan tidak mengambil berat untuk mengenali pelanggan kita, sudah pasti kita tidak akan kaya baik dari segi perhubungan mahupun wang ringgit.

Kebanyakkan perniaga mikro tidak sedar betapa pentingnya untuk mereka mengumpul maklumat pelanggan mereka seperti nama, nombor handphone, alamat e-mail, maklumat urusniaga dan sebagainya. Ada sesetengah peniaga yang berkata, “saya dah bertahun-tahun buat business, tak pernah pun kumpul maklumat pelanggan, business ok aje”.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita (rekaan semata-mata dan tidak merujuk kepada sesiapa pun 😛 ) Shila ialah boss sebuah butik pakaian. Salah seorang pelanggan tetapnya bernama Rani. Rani paling kurang akan mengunjungi butik Shila sebulan sekali dan berbelanja hampir RM200 setiap kali. Boleh dikatakan Shila memang akan menunggu kedatangan Rani untuk menunjukkan koleksi pakaian terbarunya. Dipendekkan cerita, sudah lebih dari sebulan sejak Rani datang ke butik Shila. Shila mula risau dan menjangkakan Rani mungkin ada urusan penting. Hari berganti hari dan setelah sudah lebih tiga bulan, Shila terpaksa menerima hakikat bahawa butiknya sudah kehilangan seorangan pelanggan. Shila berfikir, “jika aku ada nombor handphone Rani, paling kurang aku akan dapat terus berhubung dengannya. Mana tahu besok lusa dia mungkin boleh kembali ke butik aku.”

Mungkin ada diantara anda yang akan berfikir, biasalah lumrah buat business, akan ada pelanggan kita yang akan meninggalkan kita. Nak buat apa? Setuju, satu dua pelanggan meninggalkan kita, kira ok lagi. Apa kata jika kita kehilangan sepuluh, dua puluh, seratus orang pelanggan? Dan kita tidak ada langsung maklumat mereka untuk berhubung kembali menerusi handphone atau e-mail?

Mungkin ada juga yang akan bertanya, takkanlah buat business sampai tak kumpul langsung maklumat pelanggan? Mustahil lah. Soalan ini susah nak dijawab. Pengamatan saya, peniaga mikro jarang menggunakan teknologi digital dalam menguruskan perniagaan harian mereka. Mereka mungkin mengeluarkan resit atau invois secara manual yang mempunyai maklumat pelanggan. Lama kelamaan, mereka akan ada koleksi berkotak-kotak salinan resit dan invois. Ya, mereka ada mengumpul maklumat pelanggan mereka tetapi saya sangsi mereka dengan mudah dapat menggunakan maklumat tersebut untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan-pelanggan mereka.

Saya yakin, untuk mengembangkan perniagaan kita di era digital ini, kita bukan sahaja harus memahami kepentingan mengumpulkan maklumat pelanggan malah harus arif dalam kaedah menggunakan maklumat tersebut untuk mengkayakan hubungan dengan pelanggan kita.

Oppss…sebelum saya terlupa, kepada yang berkata, “saya dah bertahun-tahun buat business, tak pernah pun kumpul maklumat pelanggan, business ok aje”, mulalah kumpulkan maklumat pelanggan dan gunakannya sebaik mungkin di dalam perniagaan anda, mesti business anda akan lebih dari OK! 😀

Adakah penting dalam perniagaan anda untuk anda mengumpul maklumat pelanggan anda? Bagaimana anda melakukannya? Silalah berkongsi pendapat untuk renungan kita bersama.

Share this post!

You Might Also Like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *