Nak tahu teknik untuk melariskan promosi anda?

Jika anda seorang usahawan, sudah pasti anda pernah mengadakan promosi untuk melonjakkan jualan anda. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa promosi adalah antara cara paling efektik untuk menambahkan jualan. 

Rasanya kita antara negara bertuah yang dapat melihat pelbagai promosi sepanjang tahun. Promosi Cuti Sekolah, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Jualan Pertengahan Tahun, Deepavali, Krismas, Promosi Hujung Tahun dan macam-macam promosi yang nampak macam tiada kesudahannya. 

Persoalan yang selalu merungsingkan para usahawan adalah apakah formula untuk menghasilkan promosi yang paling optimum? Promosi yang keterlaluan akan mengugat keuntungan dan memendekkan jangka hayat perniagaan 😛 , manakala pelanggan tidak akan ambil kisah jika promosi kita tidak “menyelerakan”. 

Tips untuk promosi yang berkesan

Gunakan % berbanding RM untuk diskaun

Kajian menunjukkan pelanggan lebih tertarik kepada promosi yang berdasarkan % diskaun berbanding RM diskaun. Naluri kita secara automatik akan membuat kiraan berdasarkan % diskaun walaupun promosi dinyatakan dalam RM. Jika diskaun yang diberikan dalam RM sukar dikira dalam bentuk % (Contohnya, diskaun RM3 untuk pembelian RM20), pelanggan akan keliru dan menyebabkan promosi anda kelihatan tidak menarik.

Sememangnya lebih tinggi % diskaun anda akan menjadikan promosi anda lebih menyelerakan. Ini semua orang tahu. Untuk rujukan anda, % diskaun paling minimum yang disarankan untuk sekurang-kurangnya menarik perhatian pelanggan adalah 20%. Ini boleh anda jadikan sebagai penanda aras untuk merangka promosi anda.

Elakkan kuata pembelian minimum 

Apabila promosi anda memerlukan pelanggan untuk membuat sejumlah pembelian sebelum dapat menikmati diskaun atau faedah yang lain, tawaran anda nampak kurang ikhlas dimata pelanggan. Ini menjauhkan lagi pelanggan anda dari membuat sebarang pembelian. Tambahan pula, pelanggan selalu merasakan kuata pembelian minimum diletakkan sedemekian rupa supaya ianya diluar kemampuan mereka dan lebih tinggi dari jumlah perbelanjaan mereka yang lazim. Contoh promosi sebegini adalah “Dapatkan tuala percuma dengan pembelian minima RM150” atau “Diskaun RM5 untuk setiap pembelian RM50”.

Berikan lebih pilihan untuk pelanggan anda

“Dapatkan potongan 35% pada mana-mana minuman kegemaran anda” adalah lebih “menyelerakan” kepada pelanggan berbanding “Dapatkan potongan 35% untuk pembelian Jus Durian Belanda”. Kita semua sukakan pilihan kerana ia membuatkan kita rasa berkuasa dan ada kawalan sepenuhnya diatas pembelian kita. Jadi berikanlah kepuasan tersebut kepada pelanggan anda 🙂 

Jadi untuk promosi anda yang seterusnya, cubalah elakkan dari menggunakan kuata pembelian minima dan berikan diskaun jelas dalam bentuk % yang merangkumi lebih banyak pilihan kepada pelanggan anda.

Ingat, tiada sesiapa pun yang boleh memaksa anda membuat promosi yang boleh merugikan perniagaan anda. Seperti selalunya dalam mengharungi kehidupan kita, kita belajar dengan cara melakukan sesuatu dan mengkaji hasilnya. Setiap kali anda melakukan promosi, pastikan anda kumpul dan kaji hasilnya. Jika hasilnya positif, teruskan dan jika hasilnya kurang memberangsangkan, buat penambahbaikan/pengubahsuaian pada promosi seterusnya.    

Saya yakin anda ada cerita suka duka tersendiri dalam membuat promosi untuk perniagaan anda. Silalah bersembang disini. 😀 

Share this post!

You Might Also Like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *